Wednesday, 22 August 2018

Memahami Erti Sebuah Pengorbanan

Detik 10 Zulhijjah bagi tahun 1439 Hijriah tiba jua pada hari ini, bersamaan  22 Ogos 2018, iaitu hari Rabu. Tidak asing lagi bagi ummat Islam di seluruh pelusuk dunia untuk mengerjakan ibadah korban. Korban merupakan perkataan bahasa Arab (قرب ⬅ قربان) yang bermaksud dekat. Dekat di sini disifatkan kepada ibadah korban yang dikerjakan bagi mendekatkan diri seorang hamba terhadap pencipta-Nya, Allah. Ibadah mulia ini bertujuan mengingati dan mengahayati betapa tingginya nilai pengorbanan yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah. Hal ini dapat dilihat menerusi peristiwa Nabi Ibrahim yang mendapat perintah melalui mimpinya daripada Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Dengan rasa bersimpati, Nabi Ibrahim telah menyatakan mimpinya kepada anakanda yang tercinta. Nabi Ismail yang ketika itu masih kecil menerima sahaja perintah itu dengan redha. Peristiwa ini dirakamkan dalam firman-Nya dalam surah as-Saafat ayat 99 hingga 111, yang bermaksud:

"Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Rabbku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang shalih. Maka Kami beri dia kabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka pikirkanlah apa pendapatmu?” Ia menjawab: “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami memanggilnya: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (yaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim.” Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.”

Melihat suasana Hari Raya Aidiladha atau juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban di tanah air kita, khususnya di negeri tanah kelahiran saya, iaitu Kelantan, perayaan ini disambut begitu meriah sekali malah lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri. Umum diketahui bahawa masyarakat di negeri Kelantan, terutama ummat Islam sangat menghargai kehadiran perayaan ini. Sebagai contoh, pengawal keselamatan di pusat pengajian saya pernah bertanya; Kenapa saya tidak pulang beraya pada "hari besar" kerana sangat aneh bagi orang Islam  Kelantan jika tidak pulang menyambut Hari Raya Korban. Saya memberitahu pengawal tersebut, saya pasti akan pulang! Bezanya lambat sahaja kerana terdapat urusan-urusan tertentu yang memaksa saya pulang lambat, iaitu sehari sebelum hari raya. Begitulah gambaran bahawa betapa meriahnya suasana perayaan ini di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Namun begitu, di sebalik kemeriahan terselit rasa sedih dan simpati kami terhadap saudara-saudara seislam yang tidak dapat menyambut hari besar ini bersama insan tersayang. Sanak-saudara yang berkorban demi tugas dan tanggungjawab terhadap negara sebagai tentera dan seangkatan dengannya dan tidak lupa juga kepada mereka yang mempunyai masalah dari segi kewangan dan kurang berkemampuan bagi membiayai kos pulang ke kampung halaman serta saudara yang mempunyai masalah-masalah lain yang menghalang mereka daripada pulang merasai kemeriahan Aidiladha di kampung. Lebih menyayat hati apabila teringat akan saudara-saudara baru yang baharu sahaja memeluk Islam ataupun sudah lama tetapi tidak mempunyai ahli keluarga yang beragama Islam. Tidak dilupakan, sahabat sekelas saya berbangsa Cina, Pui yang memeluk agama Islam pada bulan November tahun lalu menyambut Aidiladhanya yang pertama dalam hidupnya selama 20 tahun pada hari ini! Walau bagaimanapun, saya sangat gembira apabila mengetahui ibunya yang beragama Buddha sanggup menghantarnya ke masjid bagi sama-sama merasai suasana kesyahduan takbir hari raya di Malaysia yang begitu sayu serta kemeriahan Aidiladha bersama masyarakat Islam. Allahuakbar! Benarlah; Kasih ibu hingga ke syurga, kasih ayah kekal selamanya. 

Ibunya pada awal pengislamannya begitu kecewa dalam pilihan ad-deen sang anak, akhirnya akur akan ketentuan Tuhan. Segala kemarahan dan kekecewaannya terhadap sang anak berlalu pudar dan kian menghilang kerana kasih dan kuasa Tuhan melembutkan hati si ibu.   Situasi ini sesuai dengan kata pujangga Inggeris; No love is greater than mom's love, No care is greater than dad's care.

Semoga pengorbanan jiwa ibu terhadap anak dikenang dan dihargai hingga lubuk hati, duhai sahabatku. Beruntung kau sahabatku kerana ujian yang kau hadapi dalam tempoh pengislaman yang dilalui masih terkawal berbanding saudara-saudara kita yang lain yang dibuang keluarga dan terpaksa menumpang kasih orang lain.

Diharapkan agar Hari Raya Korban kali ini menjadi titik pemula untuk kita benar-benar mendalami  erti pengorbanan yang sebenar,  pengorbanan dalam pelbagai situasi yang penuh cabaran, mehnah dan tribulasi terutama pengorbanan dalam memastikan kita menjadi hamba-Nya yang taat, insya-Allah. Renungilah pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap anaknya demi melaksanakan perintah Allah serta pengorbanan rasul-rasul ulul azmi dalam menegakkan syiar Islam. Semoga, dengan penghayatan tersebut mampu menyuntik semangat berkorban dalam diri kita.

Keluarga kecilku di institut.
(Atas dari kiri: Faal, Pui, Syed, Amin
Baris kedua atas dari kiri: Auni, Hariz, Izzati, Wawa
Baris ketiga atas dari kiri: Pipah, Nania, Adi, Aiman
Kedua bawah dari kiri: Yusra, Naim, Ajib, Mirul
Bawah dari kiri: Kuzek, Chan, Fatah, Mera)

P/s: Sebagai bacaan lanjut ibadah korban, boleh tekan pautan ini http://ii.islam.gov.my/articles/ibadah/qurban.php . Terima kasih

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

The Birth

We celebrate the birth of The Teacher of teachers, mercy upon mankind and all of existence, the manifestation of love, peace and kindness❤️ ...